Selasa, April 09, 2019

Menteri Besar Johor Letak Jawatan

Setelah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Johor ke-16 selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dato' Haji Osman bin Haji Sapian disahkan telah meletak jawatan sebagai MB Johor.

Dato' Haji Osman bin Haji Sapian

Kenyataan itu diumumkan oleh YAB Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri (PM) kepada pemberita.

Dalam kenyataan itu Tun Mahathir mengesahkan telah menerima dua pucuk surat dari MB Johor dan satunya akan disembah maklum kepada DYMM Sultan Johor sepulangnya Baginda dari luar negara.

Desas-desus politik Johor menjadi bualan minggu lalu apabila ada khabar angin menyatakan terdapat seorang wakil rakyat kerajaan telah bertemu DYMM Sultan Johor di luar negara bagi mencadangkan seorang dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sama parti dengannya untuk diangkat sebagai MB Johor yang baru.

Dato' Osman telah berkhidmat sebagai ADUN Kempas selama tiga penggal pada 1999-2012 diatas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum menyertai PH dan memenangi kerusi yang sama pada PRU-14 lalu seterusnya diangkat sebagai MB Johor.

Beliau juga telah mencipta sejarah baru buat negeri Johor apabila menjadi MB yang terpendek perkhidmatannya iaitu hanya 10 bulan sahaja. Tidak cukup dengan itu, beliau juga didapati menipu rakyat dengan menyatakan mempunyai Ijazah pada profil sebagai calon PRU-14 sedangkan beliau tidak memilikinya.


Hakikatnya isu Dato' Osman ini bukanlah baru. Perkara ini sudah lama Bangsa Johor merasainya. Ia bermula apabila DYMM Sultan Johor menitahkan Baginda tidak akan menghadiri sebarang majlis anjuran kerajaan negeri.

Tambahan dengan isu projek pembangunan yang direncatkan oleh kerajaan pusat, isu Malaysia-Singapura yang meletakkan Johor dalam zon perang apabila MB sendiri gagal dalam penyelesaian diatas meja rundingan, pelaburan negeri yang kian merosot dan banyak lagi isu rakyat yang gagal ditangani oleh MB.

Slogan Muafakat Bangsa Johor yang telah menyatukan rakyat Negeri Johor dan Istana telah diubah oleh MB dengan slogan 'Harapan Bangsa Johor' yang memperlihatkan kepentingan politik telah melebihi Bangsa Johor itu sendiri.

Rakyat Johor hakikatnya tidak meletakkan sebarang harapan pada kerajaan, tetapi dengan kedudukan Johor yang dilihat lebih stabil dan makmur antara rakyat dan Istana kini lebih kepada bersifat kebencian dan besar kepala oleh sesetengah ahli parti politik itu sendiri.

Sekali lagi kredibiliti Tun Mahathir tercalar kerana MB ini adalah mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan oleh beliau.

Masalah sijil, intergriti, kebijaksanaan berfikir, kemasukan bekas ahli UMNO yang ditentang rakan dalam PH, kemasukan PPBM ke Sabah yang melanggar perjanjian dengan parti WARISAN dan kini MB letak jawatan, semuanya adalah dari PPBM.

Dengan pengundurun MB Johor yang hanya 10 bulan ini, sekali lagi wakil rakyat yang lahir dari PH adalah tidak berkualiti dan gagal sebagai kerajaan khususnya Negeri Johor Darul Takzim.

Tahniah buat Dato' Haji Osman bin Haji Sapian yang berjaya mencatat nama sebagai MB Johor ke-16 walaupun hanya 10 bulan.

Jumaat, April 05, 2019

Dua Dekad PKR Sebagai Parti Politik


Tanggal 4hb Mac 2019 genaplah 20 tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertapak sebagai parti politik di Malaysia.

Sejarah membuktikan penubuhan PKR adalah bagi membela Datuk Seri Anuar Ibrahim (DSAI) yang telah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan disabitkan dengan kesalahan rasuah selain kes liwat yang membabitkan beliau dan adik angkat beliau.

Misi PKR pada penubuhannya hanya untuk menjatuhkan Tun Mahathir Mohamad (ketika itu PM ke-4) kerana disifatkan sebagai diktator dan kuku besi dalam pemerintahan termasuklah apa yang terjadi pada DSAI.

Setelah Tun Mahathir meninggalkan tampuk pemerintahan (PM ke-4), misi mereka masih belum berakhir kerana ketika itu DSAI masih lagi chek-in ditirai besi.

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mengetuai PKR sentiasa memainkan isu membela suaminya kepada ahli PKR selain anak sulung beliau, Nurul Izzah Anuar diangkat sebagai Naib Presiden.

PKR yang kononnya memperjuangkan reformasi sebenarnya bukanlah parti politik sebenar. Tetapi ia sebagai sebuah parti hanya untuk menunaikan hasrat pemimpin mereka mencapai cita-cita untuk menjadi PM.

Parti ini tidak lain sanggup melakukan apa sahaja agar DSAI berjaya menjadi PM selagi hayat dikandung badan termasuklah merencatkan rakan dalam PKR yang lebih berkelayakan untuk menonjol.

Ahli-ahli akar umbi sebanarnya tiada perjuangan. Mereka akur dengan kepimpinan yang mahukan perkara itu berlaku. Sebab itu dalam tempoh 19 tahun sebagai pembangkang, mereka tidak mendapat sokongan dari bangsa Melayu kerana perjuangan mereka hanya untuk menaikkan bekas banduan dan bukan untuk Agama, Bangsa dan Negara.

Dilihat sokongan yang PKR dapat majoritinya dari mereka yang bukan berbangsa Melayu di peti undi. Kerana bangsa Melayu mahukan sebuah parti politik yang memperjuangkan bangsa dan bukanlah parti kekeluargaan semata-mata.

Reformasi yang dijuangkan juga dilihat tidak ubah seperti sebuah parti pembangkang walaupun mereka kini sebagai parti kerajaan. PKR dilihat lantang mengkritik kerajaan dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah. Mereka lebih selesa mengkritik dan terus mengkritik berbanding membantu pentadbiran kerana mereka juga adalah sebahagian dari kerajaan.

Kesimpulannya pasukan dalam PKR yang mengkritik Tun Mahathir kini adalah pemimpin yang bukan membela rakyat tetapi mahu menjatuhkan Tun demi menaikkan pemimpin mereka. Itulah permainan politik Reformasi Malaysia Baru dari PKR sehingga Pakatan Harapan (PH) dilihat tiada persepakatan lagi untuk memerintah sebagai kerajaan pusat.

Ingatlah pesanan Presiden PKR, jangan pernah lupa sejarah perjuangan 2 dekad sebagai parti politik. Sejarah yang tidak boleh diubah dan akan kekal adalah 'PKR adalah parti reformasi untuk memastikan DSAI sebagai PM dan siapa yang mengingkarinya adalah pengkhianat parti'. Siapa sebenarnya diktator?

Isnin, April 01, 2019

Pilihan Raya Kecil N.27-Rantau

Datuk Seri Mohamad Hassan, Dr S Streram, Mohd Nor dan R Mala

Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27-Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas selepas tamat tempoh penamaan calon.

PRK N.27-Rantau adalah PRK ke-7 selepas PRU-14. Hari mengundi awal adalah pada 9hb April 2019 manakala 13hb April 2019 adalah hari mengundi. Sebagai rekod Dun Sungai Kandis (PH), Dun Balakong (PH), Dun Seri Setia (PH), Parlimen Port Dickson (PH), Parlimen Cameron Highland (BN), Dun Semenyih (BN)

BN meletakkan Datuk Seri Mohamad Hassan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Doktor S Streram pula dicalonkan bagi mewakili PH. Manakala R Mala dan Mohd Nor Yassin menjadi calon Bebas.

Pengumuman rasmi penamaan calon diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK N.27-Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus pada jam 10.30 pagi dan tiada borang pencalonan yang ditolak.

PRK N.27- Rantau dilihat amat mencabar buat dua parti yang bertanding iaitu UMNO yang mewakili BN dan PKR yang mewakili PH. Ini kerana UMNO meletakkan Timbalan Presiden yang kini sedang menjalankan tugas-tugas Presiden manakala PKR yang mewakili PH harus membuktikan kejayaan di Rantau kerana Presiden PKR yang telah memenangi PRK lalu kini bergelar ahli parlimen Port Dickson dan bakal Perdana Menteri ke-8 (kini masih menunggu).

Datuk Seri Mohamad Hassan atau lebih senang dipanggil Tok Mat sangat berpengalaman dalam dunia politik selain disenangi rakyat tempatan kerana beliau adalah anak tempatan. Sejarah politik Dun Rantau juga membuktikan beliau sentiasa bekerja bukan hanya untuk rakyat tempatan, tetapi seluruh rakyat Negeri Sembilan. Kini beliau amat disenangi oleh ahli UMNO khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Dengan ucapan yang penuh isi serta nasihat, beliau telah berjaya membuktikan ketokohan kepimpinannya apabila berjaya memenangi dua PRK (Cameron Highland dan Semenyih) selain menyatukan UMNO-Pas seterusnya mengekalkan persepakatan antara UMNO-MCA-MIC sebagai sahabat komponen terbaik dalam BN.

PRK N.27-Rantau adalah percubaan ke-2 buat Dr Streram yang mewakili PH selepas tidak dibenarkan masuk pada penamaan calon PRU-14 lalu akibat kesilapan dan kesombongannya sendiri apabila tidak membawa pas masuk dan tiada usaha untuk mendapatkannya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau dan Pakar Bius bukan sahaja tidak mendapat sokongan majoriti malah beliau bukanlah anak tempatan. Beliau kini yang mewakili PKR dilihat harus bekerja keras demi membuktikan aura PM menunggu (20 tahun) yang kini berada di Port Dickson tidak dicemari dengan kekalahan kerana ia sebagai bukti kekuatan PKR selepas DAP dan Bersatu tewas pada dua PRK ditangan BN.

Cabaran PH bukan pada calon semata-mata, akan tetapi faktor gagal menunaikan janji manifesto, menteri yang lemah dalam menjalankan tugas, masalah permuafakatan dalam PH, masalah ekonomi, gagal sebagai pentadbir kerajaan dan banyak lagi isu pusat akan terus menjadi persoalan yang bukan sahaja calon, malah rakan-rakan kempen yang akan turun padang (jika ada membantu) untuk menjawabnya.

Bagi calon bebas, R Mala adalah suri rumah sepenuh masa yang berasal dari Port Dickson. Beliau juga adalah bekas penyampai radio di Toronto, Canada manakala Mohd Nor adalah bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melawar, Negeri Sembilan.

Kedua-dua calon bebas ini bukan sahaja sangat tidak meyakinkan, malah bukan satu cabaran buat BN mahupun PH. Dengan usaha menjadikan pilihan raya dengan dua parti, adalah amat merugikan buat semua calon Bebas dan kesilapan meraih sokongan pengundi akan boleh menyebabkan wang taruhan akan hilang begitu sahaja.

Dengan PRK ke-7 ini, sekali lagi rakyat tempatan akan membuktikan kuasa pemimpin adalah ditangan rakyat. Walaupun setiap PRK yang berlangsung tidak mendatangkan apa-apa perubahan, tetapi maksud tersirat yang bakal keluar mengundi akan membawa pengajaran besar buat mereka yang bergelar ahli politik.

Jawatan yang mereka ada hanyalah pinjaman seperti mana kita dimuka bumi ini. Maka dengan kesombongan, fitnah dan penipuan bakal dibayar dengan kehancuran. Rakyat mampu berfikir.