Pada satu portal akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini telah menyiarkan Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik menyatakan sokongannya untuk membina cawangan Universiti Muhammadiah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA) di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Johor.
Perkara itu telah membawa kepada Titah DYMM Sultan Johor dan DYMM Tunku Mahkota Johor bahawa Tuanku selaku Ketua Agama Islam Negeri Johor tidak memperkenan tujuan itu kerana ia jelas melanggar pegangan ahli Sunnah Waljamaah yang beraliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.
Walaupun pada awalnya memang sukatan pelajarannya tiada kaitan dengan penyebaran fahaman Gerakan Muhammadiah (GM), namun tidak mustahil untuk fahaman itu tetap akan tersebar akibat pergaulan sesama pelajar dan penduduk sekitar.
Kebimbangan Tuanku Sultan juga dizahirkan dengan fahaman yang jelas jauh dari apa yang diamalkan di negeri Johor ini, maka ia akan menjadi kekeliruan, perbalahan dan perpecahan.
Dr. Mazlee pernah menjadi tenaga pengajar dan rujukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah pasti lebih mengetahui apa itu GM dan dalam hal ini ia akan melibatkan terus Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri Johor.
Sebagai seorang ahli parlimen, beliau seharusnya lebih memahami undang-undang kerana parlimen adalah penggubal undang-undang. Jika alasan beliau sebagai menteri tidak sampai 7 bulan, adakah beliau buta sejarah bahawa Kerajaan Negeri Johor adalah kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai Undang-undang Tubuh Negeri Johor (1895) kerana beliau adalah anak Johor.
Undang-undang Tubuh Negeri Johor memperuntukan agama Islam adalah urusan kerajaan negeri dan DYMM Sultan Johor adalah sebagai Ketua yang mengetuai pentadbiran agama Islam.
Manakala Enakmen Pentadbiran Agama Negeri Johor 2003 memperuntukkan Majlis Agama Islam Negeri Johot (MAINJ) sebagai pihak berkuasa utama agama Islam selepas Sultan Johor manakala jawatankuasa Fatwa Negeri Johor sebagai jawatankuasa yang memutuskan hukum Syara'.
Jika difahami kenyataan diatas, penjelasan berkaitan GM ini adalah berkaitan hukum Syari'i dan pegangan agama. Fahaman Muhammadiah ini adalah bertentangan sama-sekali dengan Majlis Fatwa Negeri Johor.
GM adalah fahaman yang tidak bermazhab. Mereka menggunakan ke empat-empat mazhab dengan fahaman dan tafsiran guru mereka sendiri. Berbanding dengan Bangsa Johor yang memegang mazhab Imam Syafi'i dan ajaran ahli Sunnah Waljamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah sebagai pegangan.
GM ini mempunyai pegangan Tuhan itu berjisim dan bertempat. Dalam mentafsir ayat-ayat Al-Quran dan hadith pula ia bersifat mutasyabihat (kesamaran).
Dengan tafsiran inilah maka mereka melakukan ibadat seharian melalui kefahaman mereka sehingga menimbulkan kekeliruan dan perpecahan seperti apa yang berlaku di Utara tanah air. Antara kekeliruan yang ketara adalah berkaitan ziarah kubur, sambutan Maulidul Rasul, Qunut, bacaan Talkin, bacaan Yassin malam Jumaat, tahlil, doa selepas solat dan macam-macam lagi.
Oleh yang demikian fahaman GM ini adalah sama sekali tidak boleh diizinkan bertapak di negeri Johor Darul Takzim demi keharmonian umat Islam di negeri Johor. Walaupun mereka berniat hanya untuk pendidikan, namun fahaman mereka akan kekal di masjid atau surau universiti dan selepas pelajar tamat pengajian maka amalan itu akan dibawa keluar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan