Sabtu, Mac 16, 2019

Melayu VS DAP

Setelah pengumuman secara rasmi oleh Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Dato' Seri Mohamad bin Haji Hassan berkenaan kerjasama UMNO-Pas, DAP melalui Setiausaha Agung merangkap Menteri Kewangan telah memanaskan suasana perpaduan bangsa yang sekian lama kita sematkan.

Perkara ini sebenarnya sudah dijangka dengan kenyataan YAB Lim Guan Eng yang menyatakan 'pengisytiharan perang' terhadap bukan Melayu. Kenyataan yang dimuat naik bukanlah akhbar atau portal parti lawan, tetapi ia datang dari portal berita yang pro kerajaan iaitu Malaysia Kini.

Semenjak ditubuhkan, DAP mempunyai ideologi dan identifikasi yang tidak bersetuju dengan perlembagaan negara yang meletakkan Agama Islam dan hak Bumiputera melebihi segalanya.

Jika dilihat pada permainan politik DAP, mereka banyak mengaut keuntungan politik dengan perpecahan orang-orang Melayu sedari dahulu lagi. Sebagai contoh, pada 1969 parti DAP telah memenangi banyak kerusi setelah Melayu berpecah pada tiga iaitu kumpulan Tunku Abdul Rahman (Nasionalisme), Tun Mahathir (Ultra-Melayu) dan Pas (Konservatif Islam).

Peristiwa 13 Mei 1969 secara jelas memberi kesan yang cukup besar apabila bangsa Melayu melihat DAP sebagai sebuah parti cauvinis anti-Bumiputera dan Islam. Ia bukan sahaja membuktikan perpecahan bangsa Melayu adalah ruang untuk DAP merebut peluang politik, sekaligus memastikan Melayu lemah dibumi sendiri. Namun mereka sebenarnya gagal apabila melibatkan semangat nasionalisme, bangsa Melayu tetap bersatu dan utuh menentang mereka.

Pada 1988, sekali lagi DAP merebut laba politik apabila UMNO yang menjadi tunjang bangsa Melayu berpecah. Kali ini melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan terlahirnya Semangat 46 dimana DAP telah bekerjasama pada PRU seterusnya.

Stigma sebagai parti cauvinis Cina dapat dihakis sekali lagi apabila pada tahun 1998 terjalinnya kerjasama antara DAP dan PKR yang lahir dari perpecahan dalaman UMNO. Dato' Seri Anwar yang mempunyai karisma bukan sahaja membawa Melayu untuk mempercayai politik DAP, tetapi berjaya menyatukan DAP dan Pas buat pertama kalinya.

Dengan gabungan itu sebagai Pakatan Rakyat telah membolehkan gabungan itu menawan Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Namun ahli Pas yang sedar akan permainan politik DAP telah menolak Mohamad Sabu yang lebih mahu mengekalkan kerjasama dengan DAP dengan teruk melalui pemilihan parti bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Pas pada tahun 2015. Maka terlahirlah PAN dari serpihan Pas pimpinan Abang Mat.

Pada PRU-14, peluang yang terbuka luas sekali lagi disambar apabila DAP mengaut keuntungan politik akibat perpecahan UMNO sehingga terlahirnya PPBM. Kali ini UMNO tewas apabila seorang negarawan yang suka menjatuhkan musuh sewaktu berada dalam UMNO telah bekerjasama dengan DAP. Tun Mahathir yang banyak menanam sifat benci kepada Melayu terhadap DAP telah menghalalkan cara politik beliau semata-mata untuk menjatuhkan musuh beliau dan bukan lagi perjuangan demi bangsa.

Dalam meraikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14, kerusi yang paling banyak dimenangi adalah DAP berbanding PPBM walaupun Pengerusinya menjadi Perdana Menteri. Oleh kerana itulah sebenarnya yang menakutkan DAP apabila UMNO dan Pas kini bergabung membawa wadah perjuangan Melayu dan Islam.

Kebimbangan ini terserlah apabila Barisan Nasional (BN) dan Pas tidak pernah mendiskriminasi kaum sepanjang pentadbiran sebagai kerajaan pusat dan negeri. Ini dibuktikan dengan pembinaan patung Buddha terbesar dibina oleh kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas dan kuil hindu terbesar terpelihara di Negeri Selangor sewaktu pemerintahan kerajaan BN.

Jika dilihat pada sejarah politik Malaysia, UMNO telah melahirkan banyak parti yang menunjukkan berlaku perpecahan Melayu itu sendiri. Dengan perpecahan politik Melayu dalam UMNO maka terlahirlah Pas, Semangat 46, PKR, PPBM dan Warisan. Semua parti serpihan ini pernah bekerjasama dengan DAP dan kini orang yang pernah menanam sifat benci pada DAP pada ahli UMNO iaitu Tun Mahathir pula asyik berkongsi pentas bersama DAP.

Persekutuan Tanah Melayu yang terbentuk pada tahun 1948 melalui kontrak sosial tidak pernah menindas bangsa dan agama lain di Malaysia. Semua kaum bebas melakukan apa sahaja termasuk beribadat, perniagaan dan sebagainya selagi tidak melanggar perlembagaan Malaysia.

Kira-kira 10 tahun dahulu DAP juga pernah bekerjasama dengan Pas. Walaupun gagal membawa gabungan itu ke Putrajaya, Pas yang membawa perjuangan Islam tidak pula membuat onar seperti Taliban akibat kekalahan. Malah pembalak bangsa Cina terus mengaut keuntungan balak di negeri Kelantan sehingga kini.

Gabungan UMNO-Pas ini adalah gabungan politik. Ia bukanlah usaha untuk memusuhi sesama agama di Malaysia ini. Penentangan yang dibuat adalah kerana idealogi DAP yang mahu melihat Melayu terus berpecah. Kerana idealogi politik inilah, semangat perpaduan semakin hari semakin hilang dan tidak menghormati antara sesama kaum.

Jelas bahawa bangsa Melayu tidak pernah memusuhi bangsa Cina, India dan lain-lain. Hidup berjiran sedari dulu kekal harmoni tanpa bermusuhan. Oleh kerana politik sempit yang rasis tidak mustahil pergolakan dan perpecahan kaum akan berulang seperti 13 Mei 1969.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan