Selasa, Mac 05, 2019

Semenyih Bukti Kebangkitan Melayu


2hb Mac 2019 telah menyaksikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) mengalahkan 3 calon lain dari Pakatan Harapan (PH), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas dengan majoriti 1,914 undi.

Kemenangan ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada kerajaan PH, akan tetapi sebagai satu tamparan hebat buat parti pimpinan Perdana Menteri (PM) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jika dilihat pada peratusan sokongan pengundi, bangsa Melayu lebih mempercayai BN dengan undian sehingga 59% berbanding 35.33% pada PRU-14. Manakala PH jatuh dari 44.3% kepada 37.7%.

Dengan peratusan yang jauh meninggalkan parti kerajaan, ia sebagai bukti jelas penerimaan bangsa Melayu telah kembali bersatu menyokong BN sebagai wadah perjuangan politik mereka.

Pelbagai isu berkaitan bangsa Melayu hari ini dipersenda termasuklah yang terkini hasrat PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengurangakan penjawat awam sebanyak 1%.

Tidak cukup dengan itu, jawatan-jawatan utama dalam kerajaan (nantikan ulasan pada entry yang lain) yang sebelum ini disandang oleh bangsa Melayu telah diserahkan pada bangsa lain sehingga tiada bukti jelas ketuanan Melayu itu mahu dipertahankan.

Isu manifesto 100 hari juga adalah penyumbang kepada kekalahan menakjubkan PH sehingga bangsa Melayu khususnya anak muda kecewa dengan pentadbiran Tun sebagai PM ke-7. Setiap persoalan yang diaju berkaitan manifesto PH, mereka seperti tiada jawapan konkrit kerana sering menjawab 'kerajaan tiada duit' dan 'manifesto bukanlah janji yang wajib ditunaikan'.

PRK N.24 Semenyih juga membawa semangat bangsa untuk keluar mengundi sehingga dibeberapa kawasan peratusan keluar mengundi mencecah sehingga 80%. Ini juga salah satu bukti bahawa gabungan UMNO-Pas adalah utuh untuk terus membela bangsa Melayu.

Sama juga yang berlaku pada PRU-14, sokongan bangsa Cina dan India terus kekal berpihak pada PH hampir 60%. Walaupun kempen calon BN turut dibantu oleh MCA dan MIC, pengundi berbangsa Cina dan India jelas masih bersatu dengan memberi sokongan padu kepada PH yang secara jelas menolak BN.

Semangat Malaysia Baru yang dibawa oleh PH adalah tidak sama seperti apa yang pengundi harapkan. Slogan itu hanyalah sekadar laungan semata-mata sehingga rakyat tidak jelas apa sebenarnya hala tuju Malaysia Baru yang PH bawa. Pelbagai yang berlaku setelah 9 bulan mentadbir kerajaan, tiada perkara baru dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat. Apa yang ada cumalah penjenamaan baru yang hasilnya adalah warisan dari kepimpinan BN.

Maka sokongan bangsa Melayu adalah jelas di Semenyih sebagai isyarat UMNO itu releven, gabungan UMNO-Pas adalah muafakat Melayu dan Islam, jangan berani sentuh ketuanan Melayu dan manifesto adalah WAJIB untuk kerajaan tunaikan.

*Ulasan penulis dari kenyataan Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan