Jumaat, Februari 15, 2019

Impian Hanya Memenjarakan Najib

Isu 1MDB yang menjadi bahan kempen pada PRU-14 oleh pembangkang (kini kerajaan) adalah bahan utama resipi kempen Pakatan Harapan (PH).

Pelbagai isu dimainkan dari Dato' Seri Mohd Najib, Jho Low, Reza Aziz sehinggalah penipuan Arul Kandar.

Tidak terlepas isu SRC International yang membabitkan RM42 juta yang pernah saya sentuh pada tahun 2014 kepada kepimpinan UMNO sebagai peringatan perkara ini akan menjadi isu besar. Namun saya disuruh tutup mulut.

Budaya UMNO yang suka menyuruh tutup mulut dan kipas telah membawa padah sangat besar sehingga Barisan Nasional (BN) hilang kuasa tampuk pemerintahan sebagai kerajaan yang memonopoli kepimpinan Malaysia selama 61 tahun.

Impian yang dijanjikan untuk memastikan DS Mohd Najib terpenjara oleh PH adalah bukan mudah. Perjalanan sehingga menghantar DS Mohd Najib ke penjara sendiri masih kabur akibat peguam negara yang secara teknikalnya tidak pernah mengendalikan kes besar seperti ini.

Jika benar DS Mohd Najib didapati bersalah dan dihukum, ia bukanlah jalan akhir untuk kerajaan PH bertepuk tangan. Negara akan terus sebagai sebuah negara merdeka dengan memacu kewangan sebagai negara maju. Namun walaupun hanya 9 bulan memerintah, tiada tanda-tanda pemulihan ekonomi yang lebih mapan dari kerajaan melainkan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.

Kerajaan PH hari ini seperti tiada halatuju dalam mentadbir negara kerana impian mereka hanya ingin melihat DS Mohd Najib dipenjarakan sekaligus menutup manifesto 100 hari memerintah yang sangat gagal.

Kerajaan PH harus sedar bahawa pemikiran pembangkang sepatutnya sudah hilang selepas 100 hari memegang tampuk pemerintahan dan bukannya setahun. PH kini memerintah Malaysia. Tetapi sangat mengecewakan terutama anak muda kerana seperti memerintah negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan