Ahad, Februari 17, 2019

Menarik Jikalau Bercakap Dengan Cermin

PRU-14 pada 9hb Mei 2018 amat bersejarah dan menarik untuk menjadi bualan rakyat marhaen sehingga hari ini. Dimana peralihan kuasa dilakukan melalui demokrasi tanpa pertumpahan darah.

Kuasa yang diberikan rakyat menunjukkan bahawa nilai seseorang ahli politik bukanlah atas dasar diri mereka sahaja, akan tetapi adalah penentuan dari rakyat.

Setiap PRU mahupun PRK, pelbagai janji-janji yang dipanggil manifesto dibentangkan secara terbuka oleh parti-parti yang bertanding. Sangat menarik sehinggakan perkara yang difikirkan mustahil untuk dilaksanakan oleh rakyat, mereka yang hidup berpolitik dengan bangga mengatakan mempunyai formula untuk melaksanakannya.

Namun setelah menang, segala janji-janji yang diberikan hanyalah janji kosong tanpa menunaikannya. Paling 'win' apabila insan yang bangga mempromosikan janji 100 hari itu menyatakan "manifesto bukanlah kitab suci".

Berbeza dengan apa yang berlaku beberapa hari lepas di Festival Demokrasi Kuala Lumpur 2019, insan yang sama, jawatan yang sama, wajah yang sama dan cuma mikrofon yang berbeza menyatakan kerajaan akan jatuh dan hilang kuasa jika janji-janji yang telah dijanjikan itu tidak dapat ditunaikan.

Oleh itu kerajaan Pakatan Harapan (PH) haruslah menunaikan janji-janji mereka terutama janji 100 hari jika mahu terus menjadi kerajaan pada PRU-15. Memang bukan mudah untuk menunaikan janji-janji itu atas banyak faktor. Namun ia sangat mudah jika formula-formula yang diperkatakan itu sebenarnya wujud dan bukan hanya bebual kedai kopi untuk meraih undi.

Dahulu Tun Mahathir beriya-iya mengatakan yang manifesto bukanlah janji. Kini dalam satu pentas yang besar dan dipandang oleh mata dunia, mengapa kata-kata itu diucapkan sedangkan Tun sendiri yang mengetuai kerajaan yang gagal untuk menunaikan janji itu?.

Jika ucapan Tun itu diucapkan sebagai parti pembangkang mungkin ia hanyalah isu untuk mengingatkan kerajaan pemerintah. Namun Tun adalah kerajaan. Jadi kepada siapa yang Tun ucapkan jikalau bukan pada diri sendiri.

Tahniah anak muda yang telah memilih pemimpin yang hebat dimata dunia. Namun dipandang sinis bukan sahaja oleh rakyat, tetapi rakan-rakan komponen PH.

Credit: DramaOne

Tiada ulasan:

Catat Ulasan