Rabu, Februari 20, 2019

Semoga Allah Memberi Rahmat Kepada Kepimpinan Tun Mahathir

Kurang sebulan sahaja lagi sidang parlimen akan berlangsung. Saat-saat ini yang ditunggu-tunggu tidak kira rakyat Malaysia mahupun dunia.

Dalam kita semua menanti pembukaan parlimen penggal pertama ini berlangsung, pelbagai andaian dimainkan termasuklah undi tidak percaya kepada Perdana Menteri (PM), Tun Mahathir Mohamad.

Sewaktu Tun menjadi PM ke-4 selama 22 tahun, Tun mengetuai UMNO yang meletakkan kuasa mutlak kepada Presiden parti selaku nakhoda. Dengan kuasa mutlak itulah Tun berjaya menjadi PM dengan sokongan setiap parti lain yang mewakili bangsa mereka.

Tidak dinafikan berkat permainan politik perkauman oleh komponen BN telah membawa kesepakatan dalam pemerintahan selama 62 tahun sebagai kerajaan. Tiada perebutan kuasa sekaligus membawa Malaysia sebagai sebuah negara harmoni dimata dunia.

Namun kini Malaysia dipimpin sekali lagi oleh orang yang sama sebagai PM ke-7. Namun Tun bukan sebagai nakhoda UMNO yang banyak menyelamatkan beliau selama 22 tahun sebagai PM ke-4 kerana Tun bersama dengan parti yang menolak politik perkauman.

Semangat Malaysia Baru yang dilaungkan adalah perjuangan hak kesamarataan kuasa yang meberi ruang kepada pencabulan perlembagaan negara. Prinsip Rukun Negara yang kita semua pegang tidak lagi menjadi isu dalam pentadbiran kerajaan melainkan hanya meletakkan cita-cita bakal pengganti Tun sahaja.

Tun yang pada awal menyatakan beliau banyak melakukan kesilapan sepanjang pentadbirannya dahulu dan ingin membetulkan kesilapan beliau kali ini. Niat murni ini adalah sangat terpuji yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain.

Namun kepujian yang diberikan melalui kertas undi pada 9hb Mei 2018 sedikit demi sedikit mengurangkan kepercayaan rakyat kepada beliau.

Permainan politik Tun bukan susah untuk difahami. Tun akan melakukan apa sahaja demi memastikan perancangannya tercapai. Tun juga orang yang berpegang kuat dengan prinsip. Maka prinsip perjuangan bangsa melayu yang tertanam disanubari beliau sepanjang bersama UMNO bukan mudah untuk dipadam.

Umum mengetahui pada tahun 1997 Tun dengan jelas tidak mahu Dato' Seri Anuar Ibrahim sebagai PM bagi menggantikan beliau. Akibat hanya kuasa politik yang boleh menjatuhkan Dato' Seri Mohd Najib, Tun sanggup bertemu seteru beliau dan menyatakan DS Anuar adalah pengganti beliau sebagai PM ke-8.

Misi Tun ketika itu hanyalah ingin menjatuhkan DS Mohd Najib. Tiada misi lain bagi Tun termasuk kesungguhan mentadbir kerajaan. Akibat dengan kuasa politik, DS Anuar sanggup bekerjasama demi kelangsungan sebagai PM ke-8 dengan mudah tanpa jawatan dalam kerajaan.

Rakyat yang mengundi khususnya orang muda sangat daif dalam menilai. Mereka kebanyakannya bukanlah sepenuhnya mengikuti perkembangan politik apatah lagi sebagai ahli sesebuah parti politik. Mereka hanya menerima maklumat berasaskan media sosial tanpa hujah dan penilaian sebenar. Dalam erti kata lain mereka pengundi atas pagar sehingga BN telah ditumbangkan atas pilihan mereka.

Dengan kemenangan PH itu, maka semangat mentaliti pembangkang telah menjadi darah daging PH dimana setiap gerak geri mereka hanya menyalahkan orang lain tanpa mengaku kesalahan mereka.

Semangat bangsa dalam diri Tun masih menebal sehingga parti PPBM yang ditubuhkan oleh Tun melambangkan untuk bangsa dan memperjuangkan hak melayu. Sesungguhnya perjuangan ini telah sekian lama dijuangkan oleh UMNO sejak sebelum merdeka lagi.

Perjuangan DAP dan Keadilan sudah semua sedia maklum hanya memperjuangkan hak samarata kaum dari mula pertubuhan mereka sehingga kini selain semangat reformasi. Dengan semangat perjuangan kepartian yang berbeza antara PPBM, Keadilan dan DAP, maka kesepakatan PH sebenarnya tidak berhasil sama-sekali.

Kesepakatan mereka hanya ingin menjatuhkan BN dan DS Mohd Najib sahaja. Mereka tidak pernah mempunyai semangat perkongsian kuasa yang selama ini menjadi teras BN.

Namun kredit diberikan buat Amanah yang lebih banyak menjadi lalang dan memilih jalan selamat sebagai sebuah kerajaan. Mereka lebih menjalankan amanah rakyat dari terus bermain politik. Namun dengan permainan mereka juga telah menampakkan ketidak cerdikan mereka sebagai kerajaan dan rakan politik. Politik lalang inilah sebenarnya racun dalam sesebuah permuafakatan.

Akibat politik yang tidak stabil inilah sedikit sebanyak merencatkan ekonomi negara. Jika berterusan sebegini maka negara akan menjadi muflis sebagai mana kata-kata PH sebelum PRU-14. Muflis bukan perbuatan BN, tetapi PH.

Tun banyak mengaibkan orang sepanjang pemerintahan 22 tahun sebagai PM. Kini dengan permintaan menjadi PM ke-7 hanya untuk 2 tahun, tidak mustahil Tun akan diaibkan dengan permainan politik yang tidak menentu ini.

Demi menjaga kualiti dan kehormatan Tun sebagai Negarawan, adalah lebih baik Tun mencari inisiatif terbaik sebelum Tun meninggalkan jawatan sebagai PM ke-7. Tidak perlu sehingga undi tidak percaya pada persidangan parlimen akan datang. Kerana itu akan lebih mengaibkan negara.

Walaupun mereka menyatakan tiada usul itu akan dibuat pada persidangan parlimen, tidak mustahil berlaku kerana politik akan berubah mengikut persekitaran sepertimana Tun nyatakan sewaktu PPBM akan melebarkan sayapnya ke Sabah.

Semoga Allah merahmati pemerintahan Tun dan menutup aib beliau. Aamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan